Sila Gunakan Pelayar Firefox Untuk Paparan Terbaik

Monday, May 10, 2010

TRINITI SERTA KETUHANAN JESUS? ( siri 6 )

Oleh : Rashidy Jamil Muhammad Ar Rashid

Apakah dia Triniti?

Triniti merupakan Akidah Utama di dalam Agama Kristian. Ia bermaksud Tuhan itu satu tetapi di dalam tiga keperibadian. Triniti terdiri daripada Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Holy Spirit. Ketiga-tiga Tuhan ini bersatu dan tidak pernah berpisah. Orang-orang Kristian meyakini akidah Triniti ini berdasarkan ( Yohanes 5 :7-8) :

“Ada tiga saksi : Roh Allah, air dan darah dan ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama”.

Namun tahukah anda? Ayat ini telah dibuang dari cetakan Bible RSV (Revised Standard Version) kerana Ulama-Ulama Kristian mengakuinya sebagai ayat palsu serta ditokok tambah!.

Di dalam (Matius 3:16-17) menyatakan :

Setelah Jesus dibaptis, Dia keluar dari air sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Jesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atasnya. Kemudian terdengarlah suara Allah berfirman : “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku”.
Di dalam (Lukas 3:21-22):

Setelah semua orang itu dibaptis, Jesus juga dibaptis. Ketika Dia berdoa, langit terbuka dan roh Allah berwujud burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar suara dari syurga mengatakan : “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku”.

Inilah dalil-dalil yang menyatakan wujudnya tiga kesaksian atau Triniti dalam Agama Kristian. Ketiga-tiga keperibadian ini tidak terpisah dan mereka adalah satu. Jika benar Tuhan-Tuhan ini tidak pernah berpisah, mengapa ketika Jesus mati di tiang salib, Tuhan Bapa dan Holy Spirit masih hidup? Ini menunjukkan ‘Tuhan-Tuhan’ ini bercerai dan mempunyai Tiga keperibadian yang berasingan!

Holy Spirit di Dalam Agama Kristian

Orang-orang Kristian percaya bahawa selain dari Allah sebagai Tuhan Bapa dan Jesus sebagai Anak Tuhan, mereka juga meyakini bahawa Holy Spirit adalah oknum ketiga di dalam akidah Triniti mereka. Ketiga-tiga oknum ini adalah Tuhan dan mereka semua adalah satu.

Holy Spirit adalah pengganti Jesus di bumi ini. Dialah yang mengambil alih tugas Jesus yang sekarang ini berada di sebelah kanan Tuhan Bapa di langit. Orang-orang Kristian mendakwa bahawa mereka semua adalah umat ‘kelahiran kembali’ dan mengakui Holy Spirit atau Ruh Kudus telah menguasai mereka. Di dalam (Yohanes 3:3) menyatakan :

Jesus menjawab: “Percayalah, tidak seorang pun dapat menikmati pemerintahan Allah, kecuali dia dilahirkan kembali”.
Bahkan untuk memahami Al Kitab pun, mereka mendakwa harus mempunyai Ruh Kudus terlebih dahulu. Di dalam ( Korintus 2 : 13-14) menyatakan :

Oleh itu, ketika kami menjelaskan hal-hal tentang Allah kepada orang yang mempunyai Ruh kudus, kami tidak berkata-kata menurut kebijaksanaan manusia, tetapi menurut ajaran Ruh kudus. Sesiapa yang tidak mempunyai Ruh kudus, tidak dapat menerima kurnia daripada Ruh Kudus, kerana orang seperti itu tidak dapat memahaminya dan menganggapnya sebagai satu kebodohan sahaja. Kurnia daripada Ruh Kudus hanya dapat dinilai secara rohani.

Inilah dalil yang selalu digunakan oleh orang-orang Kristian ketika menjawab soalan-soalan tentang percanggahan di dalam kitab mereka. Mereka mengatakan : “Kamu harus mempunyai Ruh Kudus terlebih dahulu sebelum memahami kitab kami!”.

Ruh Kudus yang membisu!

Ketika berpeluang mengunjungi salah sebuah gereja di Selangor, kenalan Kristian saya cuba memberi kefahaman pada saya tentang akidah mereka. Antaranya, bagaimanakah Jesus di anggap sebagai Anak Tuhan dan Tuhan oleh Penganut Kristian.

Mereka mengatakan Jesus sebagai Anak Tuhan kerana di dalam Bible sendiri menyatakan demikian.

Saya bertanya kepada mereka : “Adakah semata-mata kerana Bible menggunakan kalimah Anak Tuhan maka Jesus dianggap Anak Tuhan? Sedangkan Jesus juga menggunakan kalimah Anak Manusia di dalam Bible. Bahkan penggunaan kalimah Anak Manusia lebih banyak berbanding dengan kalimah Anak Tuhan”.

‘Anak-anak Tuhan’

Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Kalaulah semata-mata penggunaan kalimah Anak Tuhan ini dijadikan dalil dan bukti untuk menerima Jesus sebagai Anak Tuhan, maka ramailah Anak Tuhan di dalam Bible”.

Di dalam Old Testament (Kejadian 6:1-4):

…anak-anak Allah mengahwini anak-anak manusia…

Di dalam Old Testament (Keluaran 4:22):

…Israel adalah anak-ku, anak sulung-Ku…

Di dalam Old Testament (Yeremiah 31:9):

…Efraim adalah anak-ku yang sulung…

Di dalam New Testament (Lukas 3:38):

…menurut pendapat orang…Dia(Jesus) anak Yusuf, anak Eli, anak Matat……anak Enos, anak Set, Anak Adam, Anak Allah.
Di dalam New Testament (Roma 8:14):

Orang yang dipimpin oleh ruh Allah, maka mereka itu, anak-anak Allah.

Saya bertanya lagi : “Berapa ramaikah Anak Allah di dalam Bible?”. Mereka terdiam dan saya dapati salah seorang dari mereka agak tegang dan penuh emosi. Manakala yang lain pula (kemungkinan) berminat untuk mendengar hujah saya yang selanjutnya.

Saya tidak pasti mengapa dia tegang dengan situasi perbincangan dan soalan yang telah saya kemukakan.

Sedangkan jika dia membaca di Dalam New Testament (1 Peter 3 : 15-16) telah menyebut :

“Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai tuhan dalam hidup kamu, Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat. Hendaklah hati nurani kamu murni, supaya apabila kamu difitnah kerana hidup dengan baik sebagai pengikut Kritus, orang yang menfitnah kamu itu akan menjadi malu.”

Tanpa menghiraukan keadaan yang agak tegang tadi, saya meneruskan lagi dengan berkata : “Sebenarnya kalimah Anak Allah di sini ialah kiasan atau pun metafora di dalam bahasa Yahudi”. (ikuti siri seterusnya dalam keluaran akan datang )


Contenglah Komen Anda Walau Sepatah Kata

0 comments:

Post a Comment

Adab-adab Memberi Komen :

1.Menggunakan Bahasa Yang Sopan
2.Tidak Menggunakan Bahasa SMS