Sila Gunakan Pelayar Firefox Untuk Paparan Terbaik

Monday, May 10, 2010

JESUS TIDAK PERNAH DISALIB ( siri 5 )

Oleh : Rashidy Jamil Muhammad Ar Rashid

Walaupun kita telah membuktikan kepada orang-orang Kristian bahawa Jesus sendiri ‘tidak merestui’ upacara penebusan dosa bahkan bukan Jesus yang disalib oleh tentera Rom, namun orang- orang Kristian masih lagi mempertahankan hujah mereka dengan berkata: “Baiklah! Kami akan membuktikan pada kamu melalui kata-kata Jesus sendiri tentang kematian dan kebangkitannya!”.

Dalam ( Matius 17:22-23 ):

…Jesus berkata kepada mereka, “Tidak lama lagi Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula”.



Dalam ( Lukas 24:46):

Jesus berkata kepada mereka, “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga”.

“Lihatlah ayat–ayat ini! Pasti tiada seorang pun Muslim yang mampu menyangkal tentang kematian dan kebangkitan Jesus!”

Saudara, perhatikan! Sekiranya kita tidak mempersiapkan diri dengan ilmu, sudah tentu ayat-ayat di atas memutuskan hujah kita sebagai Muslim yang beryakinan bahawa Jesus ataupun Nabi Isa A.S tidak pernah mati! Mereka mengutarakan hujah yang diambil dari Holy Bible dan ayat-ayat tersebut memang terdapat di dalam Bible mereka.

Jesus menjawab ‘bagi pihak’ Muslim

Oleh kerana orang-orang Kristian tidak menerima Al-Quran sebagai ‘Last Testament’, maka sudah tentu hujah yang terpaksa kita pakai untuk membuktikan keyakinan Muslim tadi adalah melalui Holy Bible mereka.

Katakan kepada mereka: “Wahai saudaraku, perhatikan apa yang telah dikatakan oleh Petrus atau Peter dan bandingkan dengan apa yang telah Jesus katakan tentang ‘kematian dan kebangkitannya’!

Petrus atau Peter menyatakan di dalam ( Petrus 3:18) bahawa, kebangkitan setelah kematian itu hanya berlaku dalam bentuk ruh atau ‘spirit’ sahaja. Perhatikan :

…Dia (Jesus) dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani.

Sedangkan di dalam ( Lukas 24:39-40 ) Jesus pula menyatakan :

Lihatlah tangan-ku dan kaki-ku ini. Inilah aku! Peganglah aku, maka kamu akan tahu bahawa aku bukan hantu (ruh) kerana hantu (ruh) tidak mempunyai daging dan tulang, sedangkan aku masih mempunyainya.” Jesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.

Perhatikan! Jesus menafikan apa yang telah dinyatakan oleh Petrus dengan bahasa dan kalimah yang amat jelas!

Bahkan, untuk menyakinkan bahawa Dia belum mati sebagaimana yang diyakini oleh murid-muridnya ketika itu dan orang-orang Kristian pada hari ini, Jesus juga telah meminta makanan dari mereka dan memakannya . Perhatikan ayat ( Lukas bab 24 ayat 41-43):

Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan hairan. Jesus bertanya kepada mereka, “ Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka pun memberi sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya. Lalu Jesus memgambil ikan itu lalu makan di hadapan mereka.

Sungguh jelas! Jesus menegaskan bahawa Dia tidak pernah mati kerana Dia masih mempunyai daging serta tulang. Sedangkan ruh tidak mempunyainya! Dan demi meyakinkan mereka yang menyaksikan itu , Dia telah memakan makanan yang diberikan.

Sungguh aneh! Petrus atau Peter memberitahu umat Kristian bahawa Jesus telah dibunuh dan bangkit dalam bentuk ruh atau ‘spirit’. Sedangkan Jesus menjawab: ‘Wahai Peter dan umat Kristian, Aku tidak pernah mati! Lihatlah aku masih hidup dan lengkap dengan ruh serta jasad! Siapakah yang anda pilih? Jesus atau Petrus?

Apa jawapan Allah SWT terhadap mereka ?

Jika kita perhatikan kepada riwayat yang telah disifatkan oleh empat Gospel tadi, ( Matius, Markus, Lukas dan Yohanes ) seolah-olah Jesus sendiri ada kalanya rela, ada kalanya tidak rela dan ada kalanya putus asa. Sedangkan di dalam Islam, para Nabi dan Rasul itu bersifat dengan benar dan tidak pula pernah berdusta. Inilah di antara bukti bahawa terdapat percanggahan yang amat ketara di dalam kitab Bible serta juga Taurat orang-orang Yahudi .

Amat benarlah firman Allah di dalam Al-Quran :

“Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang–orang yang menulis (merubah) Alkitab dengan tangan mereka sendiri kemudian mereka mengatakan: “Inilah dari Allah” (dengan maksud) ingin memprolehi keuntungan yang sedikit dari perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, akibat dari apa yang telah ditulis oleh mereka dan kecelakaan besarlah bagi mereka, di atas apa yang telah mereka kerjakan”.
(Surah Al-Baqarah 2:79)


Di dalam menjawab fitnah yang telah ditimbulkan oleh orang-orang Yahudi dan Kristian melalui kitab Taurat dan Bible mereka, maka Allah SWT juga telah menyatakan secara jelas di dalam Al-Quran :

“Dan kerana ucapan mereka ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih Isa anak Maryam pesuruh Allah. Dan sebenarnya, mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya, tetapi ( yang mereka bunuh itu ialah ) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa benar–benar di dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapakah yang sebenarnya dibunuh itu, kecuali mereka hanya menurut sangkaan mereka sahaja. Mereka tidak pula yakin bahwa yang mereka bunuh itu, adalah Isa. Tetapi (sebenarnya) Allah telah mengangkat Isa kepadaNYa. Dan adalah Allah itu, Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
( Surah An-Nisa :4:157-158 )


( ikuti siri seterusnya dalam keluaran akan datang )


Contenglah Komen Anda Walau Sepatah Kata

0 comments:

Post a Comment

Adab-adab Memberi Komen :

1.Menggunakan Bahasa Yang Sopan
2.Tidak Menggunakan Bahasa SMS