Sila Gunakan Pelayar Firefox Untuk Paparan Terbaik

Monday, May 10, 2010

PENEBUSAN DOSA MELALUI PENYALIBAN? ( siri 2 )

Oleh: Rashidy Jamil Muhammad Ar Rashid

Adakah Nabi Isa disalib ?

Orang-orang Kristian menyakini, bahawa Adam adalah penyebab kepada wujudnya dosa warisan, sebagaimana yang telah saya kupaskan di dalam bab pertama yang lalu. Mereka juga menyakini bahawa Allah yang Maha Pengasih telah mengutuskan anak-Nya yang tunggal ( Nabi Isa ) ke dunia ini, untuk menebus dosa warisan manusia. Di dalam ( Yohanes 3:16 ) menyatakan :

Allah sangat mengasihi orang di dunia ini, sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada anak itu tidak akan binasa tetapi memperolehi hidup sejati dan kekal.

Orang-orang Kristian juga percaya bahawa kisah penyembelihan Ishak oleh Nabi Ibrahim adalah gambaran awal dari Allah SWT bahawa Jesus akan disalib untuk menebus dosa warisan manusia.
Ketika berbincang dengan seorang Paderi dan isterinya tentang ‘Benarkah Ishak yang disembelih?, saya berkata kepada beliau: “Uncle, kami sebagai Muslim percaya bahawa Ismail yang telah dikorbankan bukannya Ishak sebagaimana yang dipercayai oleh orang-orang Kristian.

Walaupun Kristian membuktikan hujah mereka melalui Old Testament, sebagaimana yang dinyatakan dalam buku Kejadian bab 22 ayat 2 :

Allah berfirman : “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Ku tunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku“.

Namun, Kitab Bible sendiri menolak hujah ini!. Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Cubalah kita lihat di dalam Old Testament, buku kejadian bab 16 ayat 15-16, di mana Bible telah menyatakan :

Kemudian Hagar ( Hajar ) melahirkan seorang anak lelaki, lalu Abram ( Ibrahim ) bapa anak itu menamakan dia Ismail. Pada masa itu Abram berumur 86 tahun.

dan bandingkan pula dengan Old Testament, buku Kejadian bab 21 ayat 5 ini”.

Ibrahim berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan

Dengan menggunakan ‘White Board’ yang ada di dalam gereja tersebut, saya melakarkan ayat–ayat tadi agar beliau dapat memerhatikan dengan lebih jelas tentang ‘keistimewaan’ ayat– ayat ini.

Ismail atau Ishak ?

Saya berkata kepada beliau : “Uncle, perhatikan ayat-ayat ini. Di antara Ismail dan Ishak, siapakah yang lahir dulu?”. Tanpa menunggu jawapan daripada beliau, saya menyatakan bahawa Ismail yang dilahirkan dulu kerana ketika Ismail dilahirkan umur Nabi Ibrahim 86 tahun, sedangkan ketika Ishak dilahirkan umur Baginda sudah menjangkau 100 tahun. Beliau dan isterinya nampak bersetuju dengan apa yang saya nyatakan.

Saya meneruskan lagi dengan berkata: “Tetapi Uncle, jika Ismail yang dilahirkan dulu, mengapa di dalam Old Testament, buku Kejadian 22:2 di atas menyatakan Ishak adalah anak tunggal Ibrahim? Sedangkan Ishak mempunyai abang iaitu Ismail“.

Saya berkata lagi: “Inilah buktinya bahawa kalimah ‘Ishak didalam Old Testament, buku kejadian 22:2 tadi adalah kalimah tambahan dari Ulama Yahudi yang sememangnya dengki kepada Ismail dan keturunannya”.

Setelah mendengar hujah yang saya kemukakan tadi, beliau terus menjawab dengan penuh yakin: “Sebenarnya Ishak adalah satu-satunya anak tunggal Ibrahim yang lahir daripada isteri yang sah!. Manakala Ismail pula bukanlah anak Baginda yang sah kerana Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim!”

Dengan segera saya berkata kepada beliau: “Kalau begitu, tunjukkan pada saya di mana ayat di dalam Bible yang menyatakan Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim?.”

Beliau yang nampaknya terkejut dengan permintaan saya itu, hanya mendiamkan diri sambil membelek–belek kandungan Bible di hadapan beliau .

Pada mulanya saya menyangka beliau tentu tahu di manakah ayat yang menyebut tentang Hagar adalah gundik Ibrahim kerana sememangnya terdapat di dalam sesetengah versi Bible menyatakan sedemikian.

Namun setelah menunggu agak lama serta yakin beliau tidak dapat membuktikannya, maka saya berkata kepada beliau: “Uncle, ayat yang menyatakan bahawa Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim terdapat di dalam Old Testament, Kejadian bab 16 ayat 3.”

Maka Sarai ( Sarah ) memberikan Hagar ( Hajar ) kepada Abram ( Ibrahim ) untuk dijadikan gundik.

Setelah saya menunjukkan ayat tersebut, beliau nampaknya agak lega dengan ‘bantuan’ saya tadi.

Tanpa menunggu ‘kelegaan’ beliau itu berpanjangan , saya meneruskan hujah dengan berkata: “Uncle, walaupun ayat ini menyatakan Hagar sebagai gundik Ibrahim, sehinggakan Ismail itu dituduh sebagai anak gundik, namun jika kita buka di dalam Bible King James Version, terjemahan English terhadap ayat ini adalah to be his WIFE (untuk dijadikan sebagai isteri) bukannya to be his concubine (untuk dijadikan sebagai gundik) sebagaimana yang tercatat di dalam versi TEV (Todays English Version) dan lain-lain versi!”

“Mengapa Bible mempunyai pelbagai versi jika ia adalah benar– benar dari Allah. Lagipun, kalimah Isteri (Wife) dan Gundik (Concubine) mempunyai perbezaan dan maksud yang amat ketara. Tentu Allah dapat membezakannya!”

Isteri beliau yang hanya mendiamkan diri sejak awal perbincangan kami cuba menyatakan kepada saya bahawa pada zaman dahulu, istilah isteri dan gundik tidak dapat dibezakan dengan tepat. Atas sebab itulah, terdapat kalimah isteri dan gundik digunakan dalam tempat yang sama dalam sesetengah Bible!

Isteri atau gundik?

Saya tidak faham mengapa isteri beliau menyatakan sedemikian, tapi dengan segera saya berkata padanya: “Auntie, bukankah menurut kepercayaan Yahudi dan Kristian bahawa Ibrahim telah berkahwin seramai 3 orang iaitu Sarai, Hagar dan Ketura?

Ini telah dinyatakan di dalam Old Testament buku Kejadian bab 25 ayat 1 dan 2:

Abraham berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang bernama Ketura. Isterinya itu melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Ishbak dan Suah.

Di dalam ayat ini, jelas dinyatakan bahawa Ketura adalah Isteri Ibrahim.

Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Tapi Auntie, cuba bandingkan dengan apa yang dinyatakan di dalam Old Testament Buku 1 Tawarikh bab 1 ayat 32 ini:

Abraham mempunyai seorang gundik bernama Ketura. Gundiknya itu melahirkan enam orang lelaki: Zimran, Yoksan, Medan Midian, Ishbak dan Suah..

Di dalam ayat ini, dinyatakan pula Ketura anak gundik Ibrahim. Bukankah jelas bahawa kalimah isteri dan gundik mempunyai perbezaan dan penulis serta periwayat Bible tahu perbezaan ini!.

Apa pula yang hendak Auntie katakan tentang ayat 1 Raja-raja bab 11 ayat 3 :

Raja Salomo (Sulaiman) berkahwin dengan Tujuh Ratus orang Puteri Raja dan mempunyai Tiga Ratus orang Gundik.
Di dalam ayat yang sama, periwayat Bible sendiri menunjukkan bahawa mereka tahu perbezaan antara kalimah isteri dan gundik!.

Dengan muka yang merah padam, isterinya bangkit meninggalkan perbincangan kami dan saya lihat Paderi tersebut hanya menundukkan mukanya yang kemerahan.

Lantas saya meneruskan lagi dengan berkata : “Uncle, melalui ayat-ayat yang saya nyatakan tadi, jelaslah bahawa Ismail adalah anak sah dan Hagar bukanlah gundik Ibrahim!

Di sinilah buktinya bahawa terdapat perselisihan di dalam ayat-ayat Bible dan sekaligus membuktikan ia bukan Kalam Allah! Ia dikarang serta dipinda sesuka hati oleh Ulama Yahudi.

Setelah saya berkata demikian, Paderi tersebut hanya mendiamkan diri dan tidak lama kemudian, beliau menyatakan pada saya bahawa beliau ada kerja yang ingin diselesaikan. ( Ikuti selanjutnya pada siri ketiga )


Contenglah Komen Anda Walau Sepatah Kata

0 comments:

Post a Comment

Adab-adab Memberi Komen :

1.Menggunakan Bahasa Yang Sopan
2.Tidak Menggunakan Bahasa SMS