Sila Gunakan Pelayar Firefox Untuk Paparan Terbaik

Sunday, May 16, 2010

Kertas Kerja Kepentingan Tasawwuf Kepada Pendidik

Kepentingan Tasawwuf Kepada Pendidik

Muqaddimah 

Kami rafa’kan kesyukuran pada Allah SWT di atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakan. Selawat serta salam juga buat penyebar dan pembawa dua nikmat yang terbesar iaitu Iman dan juga Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad saw. Pada hari ini saya ditaklifkan untuk membincangkan tajuk Kepentingan Tasawwuf Kepada Pendidik.

Oleh kerana Tasawwuf merupakan ilmu akhlak yang menjadi tuntutan Islam terhadap umatnya, maka semestinya tasawwuf ini menjadi pakaian diri bagi setiap Muslim apatah lagi para pendidik. Keberkesanan pendidikan jiwa para murid dapat dicapai apabila pendidik dan murabbi terlebih dahulu di didik dengan akhlak mulia yang menjadi tunjang perbahasan menerusi ilmu Tasawwuf ini. Kepincangan akhlak bagi seorang murabbi sudah pasti membawa kepada runtuhnya keberkatan ilmu dan tarbiyah yang disampaikan ke dalam jiwa masyarakat.

Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Syeikh Ibnu Athaillah Iskandary di dalam al hikamnya :

ولأن تصحب جاهلا لا يرضى عن نفسه خير لّك من أن تصحب عالما يرضى عن نفسه فأيّ علم لعالم يرضى عن نفسه فأيّ جهل لجاهل لا يرضى عن نفسه.

Maksudnya : Sekiranya kamu bersahabat dengan orang yang jahil yang tidak menurut nafsunya adalah lebih baik kamu bersahabat dengan orang yang alim tetapi menurut hawa nafsunya. Ilmu apa yang hendak dikatakan ada pada seorang alim yang masih menurut nafsunya dan kejahilan apa lagi yang hendak dikatakan pada seorang yang jahil yang mampu menahan hawa nafsunya.

Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan sedikit perbahasan tentang peri pentingnya Tasawwuf kepada pendidik dalam mencapai keberkesanan tarbiyah pada jiwa masyarakat.Penyusun turut menyertakan matan-matan hikmah yang kebanyakannnya dipetik dari Al-Hikam, Syeikh Ibnu Athaillah.

DEFINISI TASAUF

Makna Tasauf dari sudut bahasa : 

1) Berasal dari perkataan suf iaitu sejenis pakaian yang diperbuat daripada bulu binatang yang menjadi pakaian kebanyakan ahli Tasawwuf. Inilah pendapat yang masyur di kalangan ulama.

2) Diambil dari nama seorang a’bid iaitu Sufah bin Murrah yang merupakan seorang penjaga Kaabah pada zaman jahiliyyah yang terkenal dengan kuat beribadat.

3) Berasal dari kalimah Al-soff yang bermaksud saf solat kerana ahli Tasawwuf merupakan mereka yang sentiasa di saf pertama di dalam solat.

4) Berasal dari perkataan Al-sofa’ yang bermaksud kesucian hati dari sifat-sifat mazmumah. Pendapat ini dipersetujui oleh Al-Sya’rawi dengan melihat kepada asal perkataan sufi itu sendiri.


5) Berasal dari perkataan Al-suffah iaitu satu tempat di utara masjid Nabi saw yang menjadi tempat bermalam bagi orang asing seperti Muhajirin di kalangan sahabat yang fakir. Mengikut riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah katanya: 

“Saya pernah melihat tujuh puluh orang daripada kalangan ahli suffah yang tinggal di tempat tersebut”.

6) Berasal daripada kalimah sufia atau suf iaitu bahasa Yunani yang bermaksud hikmah sebagaimana kenyataan al-Bairuni. Justeru, kalimah failasuf (falsafah dalam bahasa Arab) daripada fila sufia yang bermaksud cintakan hikmah.

Setelah meneliti pendapat ulama dan hujah mereka, kami dapati maksud tasawwuf itu lebih tepat dengan pakaian yang diperbuat daripada kain bulu jika berdasarkan kepada kaedah perubahan perkataan dalam bahasa Arab. Tetapi dari segi hakikat dan matlamat kalimah tasawwuf lebih kepada makna (al-sofa’) kerana kitab-kitab dan ajaran mereka sarat dengan saranan, nasihat dan panduan ke arah menyucikan hati.
Justeru, takrif ini lebih sesuai berdasarkan kepada perubahan zaman, masa dan tempat yang amat nadir mereka memakai pakaian bulu mutakhir ini. Sebaliknya majlis mereka, sama ada pengajaran, zikir dan lain-lain lagi menjurus kepada matlamat pembersihan jiwa dan hati. 

Zakaria Al-Ansari berkata : Tasawwuf ialah ilmu yang dapat membersihkan jiwa, memperbaiki akhlak yang membangunkan zahir dan batin agar mencapai kebahagiaan yang hakiki.


Tasawwuf dari sudut istilah : 

1) Ma’ruf al-Karkhi mengatakan bahawa tasawwuf adalah pergantungan seorang hamba kepada Allah SWT tanpa terikat kepada makhluk.

2) Menurut Abu Turab al-Nakhsyabi: Sufi itu adalah seorang yang tidak dikotori oleh sesuatu maksiat malah bersih daripada semua perkara yang tercela.

3) Sahl bin Abdullah al-Tustari mengatakan bahawa sufi itu adalah seorang yang bersih daripada maksiat, sentiasa berfikir dan berpegang teguh dengan Allah SWT dan tidak dengan manusia. Oleh yang demikian, di sisinya tidak ada apa-apa perbezaan antara emas dan lumpur.

4) Al-Jurairi pula menyatakan bahawa tasawwuf ialah amalan akhlak yang tinggi dan meninggalkan perbuatan keji.

5) Al-Kattani menegaskan bahawa siapa yang membekalkan kamu akhlaknya yang terpuji maka dia telah menambahkan kebersihan jiwamu.

6) Dr. Abu Al-Wafa’ al-Taftazani berkata bahawa tasawwuf pada dasarnya ialah akhlak, dengan pemikran ini tasauf ialah roh Islam kerana seluruh rukun Islam diasaskan kepada akhlak.
Secara kesimpulannya bolehlah dikatakan bahawa ilmu Tasawwuf merupakan satu ilmu yang membicarakan tentang akhlak serta pembersihan jiwa agar mencapai keredhaan dan rahmat Allah SWT semata yang juga merupakan kemuncak tujuan atau buah dari segala ilmu dan mujahadah manusia.

Pembersihan Jiwa

Seorang pendidik seharusnya membersihkan jiwanya terlebih dahulu sebelum membimbing manusia kepada Tuhannya. Jika kita menyelusuri dan meneladani sirah Nabi saw, kita akan dapati bagaimana tarbiyah Baginda saw kepada para sahabat telah mampu melahirkan generasi-generasi yang begitu hebat ketaqwaannya sehingga sejarah mereka dicatat dengan tinta-tinta pencinta ilmu. 

Bukan sahaja sahabat-sahabat besar seperti Sayyidina Abu Bakar,Umar, Uthman, Ali dan lainnya, kesan kesempurnaan akhlak Baginda saw ini turut menghasilkan generasi muda yang disebut-sebut di dalam sejarah pembangunan jiwa dan akhlak manusia. Nama- nama seperti Muaz bin Jabal, Usamah Bin Zaid Al-Haritsah, Ibnu Abbas dan sebagainya merupakan buah tangan didikan Baginda saw.

Matlamat Tasawwuf pada Pendidik dan kesannya kepada masyarakat:

Tidak dapat dinafikan lagi matlamat utama Tasawwuf adalah untuk :
1- Mencapai ma’rifatullah (mengenal Allah) melalui jalan ibadah padaNya serta menterjemahkan ihsan menerusi ibadah ke dalam detik kehidupan seharian.

2- Membersihkan jiwa dan akhlak dari buruk kepada akhlak-akhlak yang dicontohkan oleh Rasulullah saw dan seterusnya membentuk masyarakat yang bertaqwa serta berakhlak dengan akhlak Islam menerusi jalan-jalan ilmu yang ditarbiyah oleh guru-guru mursyid.

Sifat-sifat Pendidik.

Selain dari sifat-sifat terpuji yang semestinya ada bagi seorang pendidik yang ingin memasyarakatkan Tasawwuf kepada masyarakat, pendidik semestinya mempunyai sifat-sifat seperti berikut : 

1- Mengeluarkan diri dari penguasaan nafsu.
Syeikh Ibnu Athaillah telah berkata di dalam hikmah alhikamnya :

ولأن تصحب جاهلا لا يرضى عن نفسه خير لّك من أن تصحب عالما يرضى عن نفسه فأيّ علم لعالم يرضى عن نفسه فأيّ جهل لجاهل لا يرضى عن نفسه.

Maksudnya : Sekiranya kamu bersahabat dengan orang yang jahil yang tidak menurut nafsunya adalah lebih baik kamu bersahabat dengan orang yang alim tetapi menurut hawa nafsunya. Ilmu apa yang hendak dikatakan ada pada seorang alim yang masih menurut nafsunya dan kejahilan apa lagi yang hendak dikatakan pada seorang yang jahil yang mampu menahan hawa nafsunya.

Syeikh Said Hawa ketika menghuraikan hikmah yang mulia ini berkata : 

“Menerusi hikmah ini, Syeikh Ibnu Athaillah mengingatkan kepada manusia, pendidik, murabbi dan keseluruhannya bahawa inilah antara perkara-perkara yang mencacatkan diri seseorang secara umum dan seharusnya setiap manusia membebaskan diri daripada perkara-perkara yang mencacatkan itu serta membuktikan bahawa bebasnya diri dari perkara-perkara yang mencacatkan itu merupakan pendahuluan kepada sampainya hati kepada peringkat mengenal sifat-sifat Allah SWT. Ini adalah kerana perkara yang mencacatkan jiwa yang akhirnya menghalang manusia lebih-lebih lagi para pendidik dan muridnya kepada mengenal Allah SWT ialah kesukaan manusia itu sendiri kepada nafsunya. Disinilah asas atau punca yang utama kegagalan pendidikan jiwa masyarakat. 

Apakah dia ilmu yang mampu memberi faedah kepada seseorang alim yang suka kepada nafsunya? Apakah dia bentuk kejahilan orang jahil yang telah Berjaya meninggalkan nafsunya?”
Ketika mengulas kata-kata hikmah yang berbunyi:

أصل كل معصية وغفلة وشهوة الرضا عن النفس, وأصل كل طاعة ويقظة وعفة عدم الرضا منك عنها.

Maksudnya: “Asal segala maksiat, kelalaian dan kesenangan nafsu adalah sukanya kepada nafsu. Sedangkan kepatuhan, kesedaran dan penghargaan diri sendiri berasal dari tidak wujud rasa suka kepada nafsu.” 

Ibn Ajibah menyatakan : “ Barangsiapa yang melihat kepada dirinya dan menganggap baik sesuatu yang keluar darinya, bererti dia telah membinasakan diri sendiri. Bagaimana mungkin dapat diterima seorang yang berakal waras suka kepada nafsu.”

Firman Allah Azza Wajalla:

وما أبرئ نفسى إن النفس لامارة بالسوء إلا ما رحم ربى إن ربى غفور رحيم

Maksudnya:“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku. Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu) Sesungguhnya Tuhanku maha Pengampun lagi Maha Pengasihani”.(Surah Yusuf : 53)

2- Membina akhlak diri sebelum mendidi
 Syeikh Abd al-Rahman al-Silmi telah mengarang sebuah buku yang membicarakan tentang bencana-bencana nafsu dan rawatan-rawatannya. Perbicaraan ini kemudiannya disusun leh Syeikh Zuruq di dalam 800 bait syair. Orang yang diketemukan oleh Allah dengan Syeikh yang boleh mendidiknya, tidak ada apa-apa yang perlu ia lakukan lagi selain dari mendengar dan mengikut sahaja kata-kata Syeikh itu.

Apabila murid keluar dari akhlak yang buruk, dia akan berakhlak dengan akhlak rohani seperti zuhud, warak, qana’ah, iffah, merasa kaya dengan Allah dan seronok berjinak-jinak denganNya. Apabila ia keluar dari akhlak syaitan, ia akan berakhlak dengan akhlak-akhlak orang-orang yang beriman atau akhlak para malaikat seperti tawaduk, lapang dada, lemah lembut, tenang, sopan santun, tenteram, mudah kira bicara, lembut, berpada dengan ilmu Allah, belas kasihan ,rahmat, memuliakan orang-orang fakir, orang-orang miskin, ahli sunnah dan seluruh umat, mulia, pemurah, ikhlas, benar, muraqabah, musyahadah dan ma’rifatullah.

Apabila seseorang hamba Allah berakhlak dengan akhlak-akhlak ini dan dapat merealisasikannya dari sudut rasaan rohaninya – setelah ia bebas dari sifat-sifat yang berlawanan dengannya – jadilah dia seorang hamba yang ikhlas kepada Tuhannya dan bebas merdeka dari sesuatu yang lain daripadaNya. Di saat inilah tarbiyah dan pendidikan yang dilaksanakannya mendapat redha dan bantuan Allah SWT dalam menjinakkan hati-hati manusia. 

Dia juga sentiasa menyahut seruan Tuhan dan sentiasa hampir denganNya. Apabila Tuhannya menyatakan kepadanya: “Wahai hambaKu.” Hamba terlibat menjawab: “Ya wahai Tuhanku.” Dia seorang yang sangat benar dari sudut menyahut seruan Tuhannya lantaran keberanian ubudiyahnya itu, berlainan sekali jika dia bergelumang dengan syahwat yang zahir dan juga batin, jelas sekali hamba terlibat adalah hamba kepada nafsu dan syahwatnya sendiri. Hamba sebegini apabila menyatakan: “Wahai tuhanku.” Sebenarnya seorang yang dusta di dalam kata-katanya itu. Orang yang kasihkan sesuatu, sanggup menjadi hamba kepada sesuatu yang dikasihinya itu dan tidak ingin lagi menjadi hamba kepada yang lain daripadanya.

3- Menguasai ilmu dan mengamalkannya dengan ikhlas
 Antara kejayaan dalam mendidik jiwa masyarakat ialah penguasaan ilmu di kalangan pendidik itu sendiri. Perjalanan kerohaniaan yang dilalui oleh pendidik merupakan pengalaman yang amat berharga bagi merealisasikan keberkesanan didikan jiwa-jiwa manusia. Tasawwuf sendiri merupakan ilmu pembersihan jiwa yang tidak dapat dinilai secara zahir. Ia hanya dapat dilihat kesannya menerusi terzahirnya akhlak-akhlak yang mulia seperti dinyatakan tadi. Sudah tentu untuk mencapai maqam ini para pendidik seharusnya menguasai ilmu dengan kefahaman yang jitu serta melaluinya sebagai pengalaman rohaniah.
Ketika para pendidik telah berjaya menguasai akhlak-akhlak mulia yang diterapkan dalam amalan yang ikhlas maka di saat itu segala bentuk penyakit-penyakit rohani seperti takabbur, riak, ujub disebabkan mempunyai murid yang ramai serta puji-pujian yang boleh merosakkan perjalanan keihlasan dalam beramal akan dapat dihindari dengan memahami hakikat perbuatannya itu adalah semata-mata dengan rahmat hidayah Allah SWT. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Ibnu Athaillah :

لا تفرحك ألطاعة لأنّها برزت منك وفرح بها لأنّها برزت من الله اليك

Maksudnya: Jangan kamu merasa gembira kerana merasakan telah mampu membuat ketaatan tetapi gembiralah kerana ketaatan itu adalah semata-mata hidayah Allah SWT.

Apabila jiwa terdidik dengan merasakan kekuatan hidayah dan bimbingan Allah SWT merupakan kemuncak segala amalan, maka segala bentuk pandangan tidak lagi dihiraukan kerana ketika itu dia hanya mendambakan pandangan Allah SWT yang hakiki.

Seperti mana yang disebut oleh Syeikh Ibnu Athaillah:

من أكرمك انّما أكرم فيك جميل ستره فالحمد لمن سترك ليس ألحمد لمن أكرمك و شكرك

Maksudnya: Sesiapa yang memujimu maka ketahuilah segala pujian itu berlaku adalah kerana pandainya Allah SWT menyembunyikan keburukanmu. Maka kembalilah pujian itu pada Zat yang telah menutup aibmu bukannya kepada yang memujimu.

Kesemua ini merupakan sifat-sifat terpuji yang hanhya akan dicapai oleh seseorang yang telah mampu menguasai nafsu serta mentaati Allah dan RasulNya dengan sebenar-benarnya. Di saat hatinya bertaut dengan Allah menerusi sifat-sifat dan akhlak yang dicontohinya menerusi Rasulullah saw, hatinya akan hidup dengan sifat-sifat terpuji yang akan member kesan kepada didikan dan tarbiyahnya buat umat sejagat.


Penutup 

Tasawwuf merupakan wasilah atau juga penyampai kepada keberkesanannya tarbiah ummat sejagat. Menerusi Tasawwuf, manusia kembali tunduk kepada pencipta dengan kembalinya mereka kepada saranan Tasawwuf iaitu pembersihan jiwa. Syeikh Sya’rawi telah berkata : Antara hikmah Allah SWT menyembunyikan urusan dan hakikat ruh adalah semata-mata untuk mengembalikan diri manusia kepada kesedaran akan sifat lemahnya mereka di hadapan Allah SWT. Walaupun beberapa tamadun telah terbina di tangan generasi-generasi dan umat-umat terdahulu namun kesemua mereka dibinasakan Allah SWT kerana tidak mempunyai akhlak yang mulia sehingga mereka tidak mengenal pencipta.

Justeru, pembaikian akhlak dan jiwa menerusi ilmu Tazkiyah An-Nafs ini mampu merubah jiwa manusia ke arah pandangan hakiki terhadap kurniaan Allah SWT dan sekaligus mampu mewujudkan masyarakat yang tunduk pada Allah SWT sesuai dengan sifat ubudiyahnya.

---------------------------------------------------------------------------------
*Kertas Kerja "Kepentingan Tasawwuf Kepada Pendidik" Telah Dibentangkan Oleh Ust Rashidy Jamil Ar-Rashid Di Dewan Muzakarah Tingkat 7 Jab Kehakiman Syariah Negeri Johor Pada 15 Mei 2010.*


Contenglah Komen Anda Walau Sepatah Kata

0 comments:

Post a Comment

Adab-adab Memberi Komen :

1.Menggunakan Bahasa Yang Sopan
2.Tidak Menggunakan Bahasa SMS